Mangsa Banjir Kelantan Turun Kepada 4,695

Jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat jam 8 pagi ini telah berkurangan kepada 4,695 berbanding 4,770 orang malam tadi.

Sebanyak 14 pusat pemindahan masih dibuka iaitu di jajahan Tumpat dan Pasir Mas.

Pusat pemindahan di Tumpat mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,794 orang daripada 943 keluarga manakala Pasir Mas 1,901 mangsa membabitkan 639 keluarga.

Sementara itu menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang kini di bawah paras bahaya 9.0 meter dengan trend penurunan iaitu 8.87 meter berbanding 9.15 meter, malam tadi.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pula turun kepada 12.53 meter berbanding 12.83 meter malam tadi tetapi masih di bawah paras bahaya 16 meter, manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal. – 8 Januari 2017.