Pemuda UMNO Turun Padang Bantu Banjir

Pergerakan Pemuda UMNO menyediakan khidmat sosial dengan turun padang bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri yang terlibat.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, pelbagai bentuk bantuan berupa barangan keperluan asas itu disalurkan kepada mangsa di beberapa jajahan yang terjejas teruk dilanda banjir terutama di Kelantan dan Terengganu.

“Seramai 150 mangsa banjir yang kebanyakannya tidak berpindah ke pusat pemindahan banjir menerima sumbangan bernilai kira-kira RM100 bagi setiap keluarga hari ini.

“Pelbagai usaha dilakukan Pergerakan Pemuda UMNO dalam membantu mangsa banjir, termasuk membersihkan sekolah, masjid atau rumah mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Abal, Selising, Pasir Puteh hari ini.

Pada masa sama, pihaknya turut memberi sokongan moral kepada mangsa yang berduka berikutan kediaman dinaiki air, selain mengalami kerugian harta benda. – 8 Januari 2017.