Suspek Panggilan Bom Palsu Ditahan

Seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan panggilan ancaman bom palsu di sekitar kompleks kerajaan di Kota Bharu, pada 29 Disember lalu ditahan polis Jumaat lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, suspek berusia 19 tahun itu ditahan di rumahnya di Kota Bharu pada jam 4 pagi hasil risikan yang dilakukan pihaknya.

Katanya, suspek itu juga dikenal pasti individu sama yang membuat ugutan ancaman bom terhadap seorang wartawan wanita di sebuah akhbar pada 30 Disember lalu.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan dan suspek direman tiga hari sehingga esok dan tempoh tahanan reman akan disambung.  Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

“Kita percaya kejadian ugutan ancaman bom itu dilakukan dua individu dan gerakan memburu seorang lagi suspek giat dijalankan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, kompleks mahkamah, Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) terpaksa menghentikan operasi sementara waktu selepas menerima panggilan ancaman bom.

Turut menjadi mangsa adalah seorang wartawan sebuah akhbar yang menerima panggilan ugutan bom sehari selepas berita mengenai ugutan bom palsu di Mahkamah Kota Bharu dan LTSIP disiarkan. – 8 Januari 2017.