Banjir Di Kelantan Hampir Pulih Sepenuhnya

Banjir di Kelantan hampir pulih sepenuhnya dengan tinggal hanya 961 mangsa daripada 298 keluarga di 5 pusat pemindahan yang masih dibuka di Pasir Mas dan Tumpat.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, ebanjir.kelantan.gov.my,, sebanyak 897 mangsa dari 283 keluarga di Tumpat ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bunohan, SK Pengkalan Kubor 1 dan 2.

Manakala di Pasir Mas, seramai 64 mangsa membabitkan 18 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di SK Gual Tok Deh dan Sekolah Menengah Agama Meranti.

Sementara itu, hampir kesemua sungai-sungai utama di negeri berada pada paras normal kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih di peringkat amaran.

Dalam pada itu, sebanyak lima sekolah di negeri ini masih ditutup ekoran kawasan tersebut masih digenangi air.

Pengarah Pendidikan negeri, Jaafar Ismail, berkata, sekolah ditutup itu masing-masing tiga di Tumpat dan dua di Pasir Mas.

“Sekolah yang ditutup di Tumpat ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda Kajang Sebidang, SK Simpangan dan SK Bendang Pa’yong.

“Manakala sekolah di Pasir Mas yang tidak dapat beroperasi ialah SABK Al- Falah Siram dan SK Bakong,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – 9 Januari 2017.