Banjir Pulih Sepenuhnya, Pusat Pemindahan Ditutup

Keseluruhan mangsa banjir di Pasir Mas dan Tumpat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas beberapa pusat pemindahan di kawasan tersebut ditutup hari ini.

Kesemua lima pusat pemindahan di dua buah daerah tersebut yang menempatkan 961 mangsa dari 298 keluarga semalam ditutup sepenuhnya kira-kira pukul 12 tengahari ini.

Sementara itu, hanya tiga buah sekolah masing-masing dua di Tumpat dan satu di Pasir Mas masih tidak dapat beroperasi esok berikutan laluan ke sekolah berkenaan masih digenangi air.

Sekolah yang ditutup itu ialah, Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda Kajang Sebidang dan SABK Al Falah Siram.

Manakala kesemua sungai utama di negeri ini kini kembali berada pada paras normal kecuali Sungai Golok, di Rantau Panjang masih diperingkat amaran.

Dalam pada pada itu, penduduk di kebanyakkan kawasan mula bergotong-royong membersihkan rumah masing-masing termasuk mendapat kerjasama pelbagai badan sukarelawan. – 9 Januari 2017.