Bekas Pengarah Urusan TEKUN Didakwa

SHAH ALAM 09 JANUARY 2017. Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN, Datuk Abdul Rahim Hassan diiringi polis diatas kesalahan menerima wang suapan sebagai dorongan untuk membantu mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang di Mahkamah Sesyen Shah Alam. NSTP/SAIRIEN NAFIS

Bekas Pengarah Urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), Datuk Abdul Rahim Hassan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dua tuduhan rasuah.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Bagi tuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM36,000 iaitu 10 peratus daripada hasil kutipan ‘Hutang Lapuk TEKUN Nasional’.

Perbuatan itu dilakukan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada 13 Januari 2015, antara jam 8.30 malam hingga 9 malam.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM36,000 daripada Abdul Muhsin Abdul Rahmah sebagai dorongan mempercepatkan proses bayaran tuntutan Syarikat Pasadana Sdn. Bhd.

Perbuatan itu dilakukan di Lobi Kelab Shah Alam pada 15 Januari 2015, jam 9.30 malam.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aida Adha Abu Bakar dan Wan Ahmad Nizam Wan Omar.

Asmadi menetapkan 8 Februari sebagai pengurusan kes manakala bicara bermula 13 hingga 17 Mac. – 9 Januari 2017.