Dua Rakan Ditahan Ketika Sedang Proses Ketum

Polis menahan dua rakan bersama bungkusan air ketum, ubat batuk dan tiga anak pokok ketum, dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Batu Papan, Gua Musang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, dalam serbuan pukul 4.30 petang itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang membuat serbuan ke sebuah rumah didiami suspek.

Menurutnya, polis berjaya merampas 24 bungkus air ketum yang dipercayai baru diproses untuk diedarkan di sekitar kawasan bandar Gua Musang. Selain itu, 40 botol ubat batuk turut dirampas.

“Ketika serbuan, kedua-dua suspek yang berkawan itu dipercayai sedang memproses air ketum dengan menggunakan periuk dan membungkus air ketum.

“Kedua-dua lelaki tempatan itu berusia 17 dan 20 tahun dan dipercayai memproses sendiri air ketum dan memperoleh bekalan daun ketum dari kawasan berhampiran. Pemeriksaan di belakang rumah juga kita menjumpai tiga anak pokok ketum yang ditanam dalam beg plastik,” katanya di IPD Gua Musang, hari ini.

Rajab Ahad berkata, polis menganggarkan keseluruhan rampasan bungkusan berisi air ketum bernilai RM240 dan ubat batuk bernilai RM400 mengikut pasaran semasa.

Menurutnya, suspek dikesan menjalankan kegiatan menjual air ketum dan menjual sebungkus air ketum dan sebotol ubat batuk dengan harga RM10.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12 (2) kerana memiliki bahan-bahan beracun.

“Tangkapan ini adalah hasil pengumpulan risikan dan polis sememangnya berusaha memastikan gejala penyalahgunaan air ketum  dapat dibendung sepenuhnya di daerah ini,” katanya. – 9 Januari 2017.