Dr. Mahathir Tidak Pernah Berubah

Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad memburuk-burukkan golongan ulama termasuk mufti dengan melemparkan tu­duhan tidak berasas terhadap mereka membuktikan sikap bekas Perdana Menteri itu tidak pernah berubah.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Dr. Mahathir sejak daripada dahulu sering merasakan dirinya betul dan sikap seperti itu masih dikekalkan sehingga hari ini.

Justeru, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri perangai Dr. Mahathir dan dalam masa sama menasihatkan Pe­ngerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu supaya kembali ke pangkal jalan.

“Itulah sikap Dr. Mahathir sejak dulu, dia bercakap semua perkara walaupun tidak paham apa pun. Dr. Mahathir daripada zaman jadi Perdana Menteri dan selepas jadi Perdana Menteri sama sahaja.

“Bukan hari ini sahaja dia berdepan dengan mufti, dulu pun begitu juga, sebab dia merasakan dirinya setaraf dengan golongan ulama,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang menolak pandangan beberapa pihak termasuk mufti yang tidak bersetuju dengan kenyataan yang menyifatkan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDDB) tidak mendapat haji mabrur.

Malah, Dr. Mahathir turut mendakwa mereka yang me­nyangkal kenyataannya telah dibayar untuk bercakap demikian manakala mufti perlu menafikan apa yang diperkatakannya kerana mereka di pihak kerajaan.

Dr. Mahathir sebelum ini men­dakwa haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada duit penajaan program tersebut kononnya haram kerana dicuri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – 10 Januari 2017.