Empat pegawai Imigresen Ditahan Palsukan Pasport OKU

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat pegawai Imigresen Selangor termasuk dua pegawai wanita selepas disyaki mengemukakan laporan bayaran palsu bagi permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Laporan itu adalah berkaitan bayaran yang mengandungi maklumat palsu Orang Kurang Upaya (OKU).

Suspek berusia antara 31 hingga 39 tahun itu ditahan di pejabat Imigresen Selangor jam 3.30 petang semalam.

Suspek difahamkan, akan menerima permohonan PMA dan akan memberikan resit yang sah kepada pemohon mengikut proses yang sah, tetapi akan menukar maklumat dalam sistem bahawa pemohon adalah OKU tanpa pengetahuan pemohon.

Suspek kemudian akan mengambil RM200 yang dibayar oleh pemohon bagi permohonan PMA dan menukar maklumat di dalam sistem kerana permohonan PMA bagi OKU adalah percuma.

Difahamkan, semua suspek terbabit dalam kegiatan ini sejak tahun 2014 dan akibat perbuatan mereka, dianggarkan sebanyak lebih 100 permohonan pasport telah dipalsukan.

Semua suspek berkenaan direman enam hari bermula hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan suspek untuk membantu siasatan. – 10 Januari 2017.