Kerajaan PAS Kelantan Sambut Baik Kerjasama Dengan Pusat

Kerajaan PAS Kelantan menyambut baik cadangan kerjasama dengan Kerajaan Pusat melalui sebuah jawatankuasa yang dibentuk bagi menangani masalah banjir di Kelantan.

Dalam masa sama, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya juga sedia bekerjasama dengan kerajaan dalam apa jua perancangan demi kepentingan rakyat.

“Kita sambut baik cadangan kerjasama tersebut, setiap kali Kelantan dilanda banjir kerajaan negeri dan Pusat sentiasa menjalinkan kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani perjanjian Projek Perdagagan Karbon Dalam Hutan Simpan Kekal diantara kerajaan negeri dan syarikat Climate Protector Sdn. Bhd. .

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat mangsa banjir di Kelantan memaklumkan bahawa Kerajaan negeri dan Pusat perlu menjalinkan kerjasama yang baik dalam membantu mangsa banjir di negeri itu.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kerjasama tersebut perlu dilakukan dengan pendekatan holistik bagi memastikan bencana itu dapat ditangani untuk tempoh jangka panjang

Mengulas lanjut Ahmad berkata, pada masa ini, pihaknya belum melantik wakil daripada kerajaan negeri dalam jawatankuasa tersebut.

“Kita masih menunggu surat dan pengesahan kerajaan berhubung kerjasama jangka panjang itu,” katanya. – 10 Januari 2017.