UMK Buka Pengajian Luar Kampus

Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan membuka peluang pengajian secara luar kampus kepada 7,000 pelajar tanpa mengira peringkat umur bermula Februari ini.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, pengajian secara bukan konvensional itu akan lebih menggerakkan peranan UMK dalam masyarakat kerana pemindahan dan perkongsian ilmu berlaku secara dua hala.

“Program ditawarkan itu bagi peringkat ijazah, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan lojistik, pengurusan perladangan, pertanian dan penternakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar Persekutuan Asia Timur Untuk Pembelajaran Dewasa (EAFAE) 2017 di UMK Kampus Kota hari ini.

Mortaza memberitahu, ia juga adalah kesinambungan kepada program perintis UMK sebelum ini yang telah memperkenalkan program 2+2 dan 3+1 yang bakal menjadi model kepada universiti-universiti lain negara ini.

“Kita telah ada seramai 4,500 pelajar yang mengikuti pengajian 3+1 yang mana pelajar hanya menghabiskan masa selama tiga tahun di UMK manakala setahun lagi di mana-mana universiti luar negara.

“Manakala program 2+2 pula adalah program baharu membabitkan 68 pelajar yang majoritinya mempunyai perniagaan keluarga,” katanya.

Tambah beliau, kumpulan pelajar terbabit hanya perlu mengikuti pengajian dua tahun di kampus dan dua tahun lagi luar kampus.

“Ini kerana fokus kita adalah memastikan kelangsungan dan kejayaan perniagaan keluarga berpanjangan,” katanya. – 10 Januari 2017.