Adenan Satem Meninggal

(Kemaskini) Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem meninggal dunia kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi akibat komplikasi jantung.

Adenan, 73, meninggal di Institut Jantung Negara (IJN) Samarahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara itu menerusi Twitternya.

“Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih TS Adenan Satem telah pulang ke rahmatullah. Saya akan ke Sarawak utk ziarah jenazah.

“Jasa Allahyarham kepada Sarawak amat besar. Malaysia kehilangan pemimpin berwibawa. Takziah kpd keluarga, moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” demikian tulis Perdana Menteri.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menerusi posting di Twitter mencatatkan: “Takziah kepada Puan Sri Jamilah dan keluarga serta rakyat negeri Sarawak atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Menteri TS Adenan Satem. Al Fatihah.

Begitu juga, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Salam takziah atas kehilangan Ketua Menteri Sarawak. Alfatihah,” tulisnya di Twitter.

Bapa kepada lima anak ini bakal meraikan hari lahirnya yang ke-73 pada 27 Januari ini.

Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014, menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang meletak jawatan. – 11 Januari 2017.