Malaysia Di Landasan Tepat Jayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Ahmad Bajunid berkata, Malaysia berada pada landasan yang tepat dalam menjayakan gagasan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Namun jelasnya, “mind set” rakyat termasuk pemimpin segenap lapisan mesti diperbetulkan untuk menerima idea ini sepenuhnya.

Menurutnya, dasar yang diperkenalkan pada 2004 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu memfokuskan kepada usaha mencipta peluang pekerjaan dan mencetus semangat kewarganegaraan yang tinggi meliputi semua golongan.

Beliau berkata, jika dasar ini difahami sepenuhnya termasuk oleh para cendekiawan, tidak mustahil negara akan melonjak maju setanding Jepun dan Korea malah mungkin melebihi kejayaan Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Pendidikan sepanjang hayat adalah satu realiti tetapi ia akan menjadi retorik jika semua pihak terutama pemimpin tidak mahu mengubah sikap dan pandangan mereka.

“Pendidikan tidak tamat dengan tamatnya pengajian di sekolah atau universiti sebaliknya seharusnya berlaku kesinambungan dengan pendidikan profesional.

“Pembudayaan dan perubahan paradigma perlu bermula dari rumah bagi membentuk individu, keluarga dan komuniti yang sentiasa berusaha meningkatkan kemampuan dan kompetensi diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Persekutuan Asia Timur Untuk Pembelajaran Dewasa (EAFAE) 2017 di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Dalam masa sama, beliau berkata, UMK mampu menjadi penggerak pendidikan sepanjang hayat dalam bidang keusahawanan sekali gus mewujudkan masyarakat berilmu.

Beliau berkata, hubungan terjalin.antara UMK dan EAFAE juga penting dan perlu diperkukuhkan untuk perkongsian idea antara ilmuwan dan pelaksana.

“Suasana ekonomi tidak perlu dijadikan penghalang untuk pendidikan sepanjang hayat sebaliknya ia akan menyebabkan kita semakin ghairah menyelesaikan masalah dan mencari peluang baharu,” katanya.

Sementara itu Presiden EAFAE, Prof. Choi Donmin berkata, beliau mencadangkan agar Malaysia juga mewujudkan “learning cities” seperti Korea Selatan yang akan membantu mempercepat proses keilmuan masyarakat dan kemajuan negara.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 231 bandaraya ilmu di seluruh dunia yang mana lebih separuh daripadanya adalah di Korea Selatan.

“Perbincangan antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Korea Selatan boleh diadakan untuk berkongsi pengalaman dan konsep bagi melaksanakan bandaraya ilmu di negara ini,” katanya. – 11 Januari 2017.