Pegawai Kerajaan Miliki Peluru Ditahan Polis

Seorang pegawai kerajaan di Kampung Lemal, pasir Mas ditahan polis kelmarin, selepas pemeriksaan di rumahnya menemui 46 butir peluru.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, dalam serbuan jam 12.30 pagi, polis menemui tiga butir kelongsong peluru yang sudah dipotong serta 46 butir peluru kapur hidup dalam sebuah kotak.

“Siasatan awal mendapati peluru berkenaan adalah daripada senapang jenis M4,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), semalam.

Katanya, lelaki itu kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Suspek yang berusia 38 tahun itu dipercayai mengambil peluru berkenaan daripada anak saudaranya, seorang anggota tentera pada Oktober tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati peluru berkenaan dijadikan barang hiasan dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Mohamad Fakri berkata, polis juga menjalankan siasatan terhadap anak saudara suspek berhubung penemuan peluru itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang boleh dikenakan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – 11 Januari 2017.