Rasuah: KSU Disambung Reman

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan perintah reman terhadap Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman bersama anaknya berhubung dakwaan rasuah disambung empat hari lagi.

Selain rasuah, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta anak lelakinya yang berusia 34 tahun itu turut didakwa terlibat dengan penggubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.

Bagaimanapun, seorang lagi anak lelakinya yang berusia 29 tahun telah dibebaskan dengan ikat jamin.

Ketiga-tiga mereka tiba di Mahkamah Majistret pada pukul 9.55 pagi menaiki kereta berasingan sambil menutup wajah masing-masing.

Mohd Arif telah ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumahnya di USJ3, Subang Jaya pada Rabu lepas.

Manakala dua anaknya ditahan di ibu pejabat SPRM setelah mereka dipanggil untuk disoal pada hari yang sama.

Pada hari berikutnya, Mahkamah Majistret bersetuju terhadap permohonan SPRM untuk ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Penyiasat setakat ini telah menemui wang tunai dan jongkong emas bernilai lebih RM6 juta, tambahan kepada 150 buah beg tangan dan jam tangan mewah yang ditemui sebelum ini.

Turut ditemui lot tanah di sekitar Lembah Klang, yang didaftarkan di bawah nama ahli-ahli keluarga Mohd. Arif. – 11 Januari 2017.