Terima Kasih Kerajaan Bantu Atasi Masalah Banjir

Rakyat Kelantan menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukan bagi membina tebatan banjir, sekaligus bakal membantu mengatasi masalah banjir di negeri itu.

Seorang peniaga, Nazri Husin, 37, berkata, langkah yang diambil kerajaan itu dilihat sangat bertepatan memandangkan saban tahun negeri itu dilanda banjir.

Katanya, kebanyakkan penduduk khususnya di daerah Rantau Panjang, Tumpat dan Kuala Krai sudah jemu apabila terpaksa berpindah ke pusat pemindahan setiap kali hujan lebat.1

“Pengumuman pembinaan tersebut (tebatan banjir) telah memberi harapan baru kepada penduduk. Kalau boleh, kami tidak mahu lagi melihat rumah dinaiki air dan segala peralatan musnah akibat bencana tahunan itu.

“Terima kasih kerajaan kerana begitu prihatin dan cakna terhadap permasalahan rakyat di negeri ini. Pembinaan tebatan itu sememangnya sangat dinantikan oleh rakyat Kelantan,” katanya.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM800 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi melakukan projek tebatan banjir.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, projek pelan jangka panjang mengatasi masalah banjir di Kelantan yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijangka dilaksanakan pada Jun depan.

Beliau berkata, fasa pertama projek bernilai RM300 juta sudah diluluskan di lembangan Sungai Golok diikuti projek pengorekan muara Sungai Kelantan dan pembinaan tambak berjumlah RM500 juta di bawah RMK-11.2

Sementara itu, seorang kerani, Abdul Razak Muhammad Zain,
40, berkata, masalah banjir di Kelantan bukan perkara baharu kerana setiap hujung tahun penduduk akan menghadapi masalah sama.

Katanya, meskipun mengakui kerajaan sering kali menyalurkan bantuan kepada mangsa namun perkara itu tidak mampu menyelesaikan masalah banjir.

“Penduduk selama ini mengharap satu penyelesaian jangka panjang dan alhamdulilah akhirnya kerajaan meluluskan pembinaan tebatan banjir.

“Hanya dengan pembinaan tebatan tersebut mampu mengatasi masalah banjir. Boleh dikatakan setiap tahun Rantau Panjang, Tumpat dan kawasan yang berhampiran dengan Sungai Golok ditimpa musibah banjir,” katanya.
– 11 Januari 2017.