‘Tetamu Tak Diundang’ Mengundang Bahaya Warga SK Simpangan

Kehadiran ‘tetamu tak diundang’ selepas surutnya banjir mengancam warga Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan, Tumpat.

Mana tidaknya, sebanyak 13 ekor ular tedung dan seekor ular sawa ditemui di beberapa lokasi di dalam sekolah selepas dua hari operasi pembersihan dijalankan.

Selain di dalam bilik darjah, haiwan berbisa itu ditemui di stor, tandas malah di dalam laci meja murid.

Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Che Hussin Che Soh berkata, justeru, setelah mengambil kira faktor keselamatan sekolah berkenaan belum boleh dibuka.

Katanya, pihaknya akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat selepas mendapat nasihat daripada pihak berkenaan yang memberi jaminan sekolah boleh beroperasi.

Beliau berkata, dari segi perhubungan jalan ke sekolah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini sudah pun hampir pulih sepenuhnya.

“Dari segi jalan perhubungan, sudah 70 peratus laluan boleh dilalui dan kami jangkakan sekolah ini akan dapat dibuka dalam masa terdekat,” katanya. – 11 Januari 2017.