Tok Pa Rakam Salam Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Adenan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengucapkan salam takziah kepada keluarga Tan Sri Adenan Satem dan seluruh rakyat Sarawak di atas pemergian Ketua Menteri Sarawak itu hari ini.

Menurut Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar kepada rakyat negeri itu dan seluruh negara.

“Kita kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa. Jasa Allahyarham sangat besar.

“Selama dua tahun, 2004 dan 2005, semasa Allahyarham menjadi Menteri Persekutuan, kami duduk bersebelahan di setiap mesyuarat Kabinet pada hari Rabu,”

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah,” kata Mustapa yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Pa dalam kalangan rakyat Kelantan dalam catatan Facebooknya.

Adenan, 72, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kota Samarahan dekat Kuching, Sarawak pada pukul 1.20 petang tadi. – 11 Januari 2017.