300 Ancam Keluar PAS Jika Tidak Selesai Masalah Tanah

Kira-kira 300 penduduk Sungai Lakit, Gua Musang yang juga ahli PAS cawangan kampung berkenaan tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada parti tersebut sekiranya Kerajaan PAS Kelantan gagal menyelesaikan isu tanah di kawasan berkenaan.

Penduduk terbabit membantah tindakan Kerajaan PAS Kelantan kerana didakwa menjual kawasan tanah pertanian yang diusahakan mereka dengan pelbagai tanaman sejak 30 tahun lalu kepada pihak tertentu.

Difahamkan kerajaan negeri telah meluluskan tanah seluas 552 hektar itu kepada syarikat dari Perak untuk pembukaan ladang getah.

Lebih mengecewakan, syarikat terbabit didakwa menghalang penduduk memasuki kebun masing-masing di kawasan berkenaan dengan menggali lubang besar pada 6 Januari lalu.

Wakil penduduk yang juga Pengerusi Pondok Almarhum Tengku Ahmad Panglima Raja Sungai Bayu, Zainal Abidin Daud, 45, berkata, kebanyakkan penduduk sudah membayar deposit tanah dan dalam proses penyelesaian hak milik tanah dengan kebenaran bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Saya mewakili penduduk minta tolong kerajaan agar prihatin dan janganlah roboh dan musnahkan hak rakyat. Datang sini dan bincang dengan orang kampung dahulu.

“Syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan tanah bagi tujuan pembukaan ladang getah berpuluh ribu hektar.

“Janganlah bersikap tamak hingga tanah penduduk pula hendak dirampas. Kami tidak menyerah begitu sahaja dan akan memperjuangkan hak kami,” katanya.

Seorang penduduk juga bekas Ketua PAS Cawangan Sungai Lakit, Mat Setapa, 60, berkata, tindakan syarikat itu dianggap keterlaluan kerana cuba menganiayai penduduk.

Katanya, mereka berasa terkilan kerana tanaman yang diusahakan oleh penduduk kampung itu sudah mengeluarkan hasil serta menjadi punca rezeki mereka selama ini.

“Pemimpin harus mengutamakan rakyat sendiri, bukan zalimi mereka untuk kaut keuntungan.

“Saya sudah membawa masalah itu dan berbincang dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan di pejabatnya dan dia memberi alasan tidak tahu mengenai perkara itu.

“Tetapi kami hairan, pekerja syarikat berkenaan memberitahu penduduk mereka berbuat demikian kerana telah mendapat arahan daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan,” katanya. – 12 Januari 2017.