Ketua Pemuda PAS Kelantan Jangan Malukan Diri Sendiri

Langit Kota Bharu dan seluruh negeri Serambi Mekah ini sudah cerah. Kedai dobi layan diri juga sudah kosong. Ampaian di hadapan rumah mula penuh. Kanak-kanak berbondong-bondong berbasikal pada waktu petang. Kaum hawa pula kembali pada rutin bersembang di atas wakaf di hadapan rumah.

Itu semua tanda bencana sudah pergi. Air sudah surut. Bot di Pangkalan Haram Pohon Buluh dan Pangkalan Haram Gergaji di Rantau Panjang sudah mula beroperasi. Teruna berseluar yankee kembali beraksi.

Itu tanda hidup sudah normal. Rumah sudah bersih walau tidak sepenuhnya kerana kerajaan kata tengkujuh sehingga Mac. Maksudnya mungkin bah datang lagi. Besar atau kecik tidak diketahui. Cuma berdoa jangan datang bah kuning lagi.

Itu cerita di negeri Serambi Mekah. Setiap tahun akan berulang. Bah pasti datang. Macam tidak ada cara nak halang. Pemerintah di negeri mengharap orang. Kalau orang buat dia bising-bising atau lebih hebat dia kata sebab dia orang buat.

Itu tanda orang tidak tahu memerintah. Dia dipilih sebab pandai berhujah. Habis semua orang diputar-putar. Cakapnya dia seorang yang hebat, orang lain tidak pandai memerintah. Tapi haram 26 tahun memerintah benda sama yang berulang.

Walau begitu perangai pembesar negeri, Kuala Lumpur tidak pernah berkecil hati. Kerana harus dibela maka, diumum Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan dibina tebatan banjir Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa I dan Pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Golok (KESBAN) Fasa I. Kedua-duanya bernilai lebih RM800 juta.

Kata Pemuda PAS Kelantan, sudah diumum berkali-kali tetapi kenapa tidak dibuat lagi. Hendak kata bodoh tetapi dia pemimpin. Tidakkah Ketua Pemuda PAS Kelantan ketahui itu projek Rancangan Malaysia Ke-11. Maksudnya tempoh pelaksanaan lima tahun bermula dari 2016 sehingga 2020. Sekarang baru masuk tahun kedua pelaksanaan.

Nak buat tebatan banjir bukan macam buat reban ayam. Cari kayu, zink, dan paku, ketuk-ketuk terus jadi. Modal mungkin RM100 atau pun percuma kerana kayu belakang rumah.

Sudah pasti, sebelum projek itu dilaksanakan perlu ada kajian yang menyeluruh. Struktur tanah, tebing dan sebagainya. Maka sudah pasti memakan masa. Kemudian pula akan ada pemilihan kontraktor. Itu juga memerlukan penilaian secara terperinci. Proses-proses ini memakan masa tambahan pula melibatkan yang cukup besar.

Kepada Ketua Pemuda PAS Kelantan yang lulusan dari sebuah universiti di timur tengah, jangan malukan diri dengan membuat kenyataan yang merepek semata-mata untuk tutup kelemahan diri. Akuilah Kerajaan PAS Kelantan memerlukan Kerajaan Pusat untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat. Jika Pusat boleh berlapang dada kerana apa pemimpin negeri mahu mendabik dada.

Projek ini semua kerana rakyat. Kerajaan Pusat yang ditunjangi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memilih bulu untuk membantu rakyat waima negeri itu diperintah oleh pembangkang.

Maka diharapkan Ketua Pemuda PAS Kelantan yang mempunyai cita-cita menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas bermusabahlah, berdamailah dengan diri agar kelak tidak malu diketawakan orang.