SPAD Batal Lesen, Permit Pemilik Teksi Kenakan Tambang RM800

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membatalkan lesen pengendali dan lesen kenderaan pemilik teksi yang dipercayai mengenakan tambang RM800 kepada dua pelancong Perancis tahun lepas.

Menerusi satu yang dikeluarkan semalam SPAD berkata, ia berikutan siasatan terhadap aduan pelancong berkenaan yang telah dikenakan tambang tersebut bagi satu perjalanan dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ke Masjid Negara, Kuala Lumpur.

“SPAD juga akan memulakan tindakan perundangan terhadap pengendali terlibat. Sekiranya didapati bersalah, pengendali boleh dikenakan hukuman denda dan/atau penjara dan kenderaan terlibat boleh dilucutkan hak.

“Individu berkenaan juga turut disenarai hitamkan bagi menghalang beliau daripada mendapatkan lesen pengendali pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

SPAD berkata, pembatalan itu dilakukan kerana pengendali tersebut didapati mengingkari keperluan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).

“Seksyen itu memperuntukkan hanya seorang pemandu sah yang berdaftar dengan SPAD sahaja dibenarkan memberi perkhidmatan teksi dan juga mewajibkan penggunaan meter bagi menentukan tambang teksi bajet serta menyatakan keperluan pengeluaran resit bagi perjalanan,” kata kenyataan itu. – 12 Januari 2017.