Gabungan NGO Bantu Bencana Banjir 2017 Malaysia-Thailand

Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) menyalurkan bantuan bernilai lebih RM60,000 kepada mangsa banjir di wilayah Nakhon Si Tammarat, Thailand dalam misi tiga hari bermula semalam.

Pengerusi BBNGO, Prof. Dr. Dinsuhaimi Sidek berkata, bantuan tersebut berupa kit kebersihan diri, pek makanan, sejadah, telekung sembahyang, ubat dan peralatan mencuci.

Beliau berkata, seramai 40 sukarelawan termasuk lapan wanita terlibat dalam misi itu yang turut menggunakan 14 buah kenderaan pacuan empat roda.

“Kita menumpukan bantuan di Nakhon Si Thammarat kerana kawasan ini paling teruk terjejas akibat banjir yang melanda Thailand.

“Sebanyak 18 buah NGO terlibat dalam misi ini yang turut disertai kakitangan dan pertubuhan dalaman Universiti Sains Malaysia (USM).

“Selain menyampaikan pek bantuan, kita juga akan mengadakan pemeriksaan kesihatan serta mencuci rumah-rumah penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelepasan konvoi Misi Bantuan Bencana Banjir 2017 Malaysia-Thailand yang bertolak dari Kampus Kesihatan USM petang semalam.

Acara ringkas pelepasan disempurnakan oleh Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim.

Antara NGO yang terlibat adalah Pertubuhan IKRAM; MyCare; Persatuan Pegawai Sains USM; Pasukan 12 Kompeni Medan Perubatan Askar Wataniah; Imam Response and Relief Team (IMARET); Kumpulan Usahawan Wanita Kelantan (Kuwak), KEMAHANGCare dan Kelab Ekspedisi Kelantan (KEK) 4×4. – 13 Januari 2017.