Mara Tidak Pernah Taja TRW

Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak pernah menaja The Red Warriors (TRW) walau satu sen sekalipun.

Itu penjelasan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau dilihat sebagai mengulas kenyataan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa Mara di paksa menaja TRW pada tahun 2016.

Annuar berkata, Mara tidak pernah menaja TRW dan logo 50 tahun agensi berkenaan yang dipamer dilengan jersi pasukan musim lalu diberikan secara percuma.

Menurutnya, ia sebagai penghormatan kepada Mara walaupun ia bernilai RM250,000 untuk syarikat Sdn. Bhd. yang lain berminat menaja pasukan.

“Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula sebuah syarikat swasta, ia tidak pernah menaja atau memberi biasiswa kepada pelajarnya. Jadi tidak timbul ia menggunakan dana biasiswa atau tajaan.

“Sebagai syarikat swasta ia mempunyai polisi sendiri terutama dalam soal penjenamaan, promosi, pemasaran dan lain-lain. Mereka punya perbelanjaan khusus untuk penjenamaan.

“UniKL sudah lama terlibat dalam penjenamaan dan pemasaran melalui sukan khususnya hoki dan bola sepak.
Ini kerana sasaran mereka adalah menarik perhatian anak muda,” katanya menerusi entri laman sosial facebooknya.

TMJ menerusi lidah rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Johor Southern Tigers bertitah, UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016 tetapi Annuar telah menggunakan kuasa untuk memaksa mereka menaja pasukan TRW pada tahun itu.

Tambah Annuar, beliau tidak berminat untuk berpolemik dengan mana-mana individu secara terus kerana menggangap mereka sebagai kawan.

“Kalau kawan silap tak usah panjang-panjang, kita maafkan. Saya beri fakta ini sambil memancing di Tasek Kenyir bersama siswazah yang ingin memulakan perniagaan.

“Salah seorang dari mereka berkata pada saya, pesan pada ikan, jangan banyak membuka mulut. Kerana ikan yang membuka mulutlah biasanya mudah terkena pancing.

“Kepada kawan-kawan media teruskan membuat catatan, awas jangan tersalah pendrive anda. Tolong dapatkan fakta yang betul,” ujarnya. – 13 Januari 2017.