PAN Tidak Patut Wujud

PAS menyelar parti serpihannya, PAN berhubung kenyataan terbaharu salah seorang pemimpin parti itu yang mendakwa PAS merupakan punca kepada kegagalan pakatan pembangkang untuk bersatu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti serpihan tersebut adalah punca sebenar kepada keretakan hubungan antara parti-parti pembangkang, bukannya PAS.

“Tidak perlulah menyalahkan PAS. Dakwaan PAS punca pembangkang gagal bersatu tidak berasas, tidak betul. Saya fikir, PAN adalah punca sebenar.

“Lagipun sebenarnya memang tidak ada keperluan langsung untuk sebuah parti baharu seperti PAN wujud,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di kota Bharu hari ini.

Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamed hari ini dilaporkan mendakwa kegagalan pakatan pembangkang untuk bersatu dalam Pakatan Harapan bukan disebabkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebaliknya berpunca daripada PAS.

Menurut Che Ibrahim, PAS merupakan ‘masalah’ dan penghalang kepada penyatuan parti-parti pembangkang.

Tuan Ibrahim dalam pada itu meminta mana-mana pemimpin PAN supaya menjaga hal ehwal sendiri, termasuk menyatukan bahagian dalaman mereka dahulu sebelum mengata parti lain.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta orang bukan Islam tidak memandang negatif terhadap penganjuran program Himpunan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) pada 18 Februari depan.

Katanya, program tersebut bukanlah sebuah demonstrasi atau perhimpunan haram, sebaliknya program santai sesuai untuk seisi keluarga yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti keagamaan seperti ceramah, munajat, solat hajat, dialog dan ucapan.

“Program ini sama seperti sambutan Maulidur Rasul. Bukan demonstrasi atau rapat umum haram. Malah kita jemput parti bukan Islam seperti MCA datang supaya kita boleh beri penerangan tentang RUU 355,” katanya. – 13 Januari 2017.