Suami Isteri Edar Dadah Didakwa

Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam berhubung tiga pertuduhan mengedar dan memiliki dadah pada Disember lalu.

Tertuduh, Muhammad Roofeza Dollah@Abdullah, 35, dan isterinya, Shanita Mohd. Al Sharee, 38, yang merupakan kakitangan awam sektor perubatan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret, Mohd. Azrul Hasyimi Mohammad.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Roofeza dan Shanita didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 38.40 di sebuah rumah di tingkat satu blok A Flat Desa Rakyat, Jalan Pengkalan Chepa pada pukul 10 malam, 31 Disember 2016.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B(2) yang
memperuntukkan hukuman mati.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis methamphethamine seberat 41.40 gram pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) AKta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa bersama-sama memiliki dadah berbahaya jenis methamphethamine seberat 18.45 gram juga pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) AKta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan diwajibkan sebatan rotan antara tiga dan sembilan kali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainun Zafiran Abd. Halim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Feberuari depan sebagai sebutan semula kes. – 13 Januari 2017.