Tukang Rumah Mati Ketika Sedang Main Karom

Seorang tukang rumah maut dipercayai akibat serangan jantung ketika sedang bermain karom bersama rakannya di sebuah warung di Kampung Lating, Mulong, Kota Bharu hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, mangsa Mohd. Yusoff Mohamed Abdullah 46, secara tiba-tiba terjatuh sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner, Baharom Abu berkata, mangsa dikatakan sering berada di warung berkenaan bersama rakan-rakan sekampungnya untuk bermain karom.

“Rakannya yang panik melihat mangsa kemudian cuba memanggil mangsa berulang kali namun tiada tindak balas.

“Lelaki terbabit dengan bantuan beberapa penduduk kampung yang berada di tempat kejadian kemudian mengangkat dan baringkan mangsa di atas pangkin yang ketika itu masih bernyawa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus selepas pegawai kesihatan sampai di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Tambahnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan degupan jantung tidak stabil dan saluran jantung tersumbat. – 13 Januari 2017.