Annuar Akan Serah Dokumen Kepada Menteri

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa, akan menyerahkan dokumen lengkap berhubung isu pembelian pakej komersial pasukan The Red Warrior (TRW) kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri, untuk dikaji.

“Kita akan menyerahkan segala dokumen kepada menteri untuk pertimbangan lanjut selain bagi membolehkan menteri mengkaji perkara itu terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, Ismail Sabri mengarahkan MARA dan UniKL menangguh sebarang bentuk penajaan bagi 2017.

Dalam pada itu, Annuar akur dengan arahan menteri itu sambil menegaskan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan dua anak syarikat MARA tidak pernah menaja mana-mana pasukan bola sepak, sebaliknya adalah membeli pakej komersial.

“Buat masa ini, kita kena patuh kepada arahan menteri kerana ia sesuatu yang mandatori.

“Sejak 2013 lagi, UniKL serta MARA hanya membeli pakej komersial TRW iaitu iklan pada jersi, papan LED pada setiap perlawanan, serta beberapa lagi barangan serta jenama pasukan TRW yang mana jika kita kira, sebenarnya tidak setimpal dengan pakej yang ditawarkan.

“Bayangkan bajet Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) adalah RM16 juta setiap tahun, manakala syarikat yang membeli pakej berkenaan hanya RM300,000, adakah ia boleh dipanggil sebagai penaja?” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, UniKL tidak hanya terbabit dalam pembelian pakej komersial TRW, malah UniKL melabur banyak daripada segi pengiklanan dalam industri sukan termasuk hoki. – 14 Januari 2017.