Annuar, TMJ Tiada Masalah Peribadi

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah katanya, hubungan kedua-dua mereka juga baik dan tidak mempunyai sebarang masalah peribadi.

Katanya, beliau sentiasa menyokong Tunku Ismail menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain turut meminta kerjasama pihak media agar tidak melaga-lagakannya dengan Tuanku Ibrahim.

“Saya hendak minta kerjasama pihak media jangan lagakan saya dengan TMJ. Saya ini manusia terlalu kecil untuk dilagakan dengan TMJ. Saya ini, diibarat seperti kereta kancil, kalau dilagakan dengan lori, pengsanlah saya.

“Saya juga beberapa kali cuba mengelak menjawab secara langsung sesuatu perkara yang dibangkitkan TMJ, namun apabila ia melibatkan serangan bersifat peribadi sehingga boleh menggugat kredibiliti, saya terpaksa mempertahankan diri dengan memberi penjelasan sebenar.

“Lagipun entry (status) di facebook saya, hanya gurauan persahabatan dan berkongsi maklumat bukan hendak bergaduh-gaduh,” katanya kepada pemberita selepas majlis bantuan persekolahan hari ini.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu perang mulut antara Annuar dengan Tunku Ismail diakhiri secara baik demi kemajuan bola sepak negara.

Biar pun tidak mengaitkan secara langsung pertikaman lidah antara dua pemimpin itu dengan kehangatan pemilihan Presiden FAM Mac ini, namun Khairy berharap isu tersebut diselesaikan di meja rundingan ‘sebab pencalonan jawatan tertinggi badan induk bola sepak itu akan ditutup tidak lama lagi’.

Sementara itu, ketika ditanya adakah beliau akan menggesa TMJ agar segera berhenti menyerangnya, Annuar berkata, beliau tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian meskipun serangan TMJ itu sedikit sebanyak menjejaskan persiapan pasukan The Red Warriors.

“Saya tidak boleh, siapa lah saya hendak memerintah anak raja daripada berhenti bercakap, tidak manis. Saya tidak mahu TMJ mempunyai persepsi salah kononnya menganggap saya pengkritiknya, padahal saya adalah penyokong beliau,” katanya. – 14 Januari 2017.