Mustapa Jumpa Ahmad Mantapkan Kerjasama Atasi Masalah Banjir

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam tempoh terdekat bagi membincangkan mengenai kerjasama antara kedua-dua pihak untuk menangani masalah banjir di Kelantan.

Katanya, pertemuan tersebut bagi memantapkan kerjasama jangka pendek dan panjang untuk menangani serta mengurangkan masalah banjir di negeri itu.

Dalam pada itu, Mustapa mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat yang meluluskan peruntukkan RM800 juta untuk projek tebatan banjir di Kelantan.

“Sepertimana diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk  Seri Dr. Ahmad Zahid Hamudi pada 6 Januari yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan RM300 juta untuk projek tebatan banjir di Sungai Golok dan RM500 juta untuk projek pengorekan dan pembinaan tambak di Sungai Kelantan.

“Kita berharap agar Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan projek-projek ini dengan secepat mungkin.

“Langkah strategik ini adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengelak musibah teruk ketika berlakunya banjir. Ini adalah keutamaan yang difokuskan oleh kerajaan dalam menjaga kebajikan dan membela kesejahteraan rakyat,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Perupuk, Bachok hari ini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk meneliti dan menyenaraikan segala jenis kerosakan infrastruktur dan kemudahan asas akibat banjir baru-baru ini untuk tindakan lanjut.

Katanya, tindakan itu penting bagi membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukkan segera untuk membaiki segala kerosakkan demi keselesaan rakyat.

Ujarnya, banjir yang melanda negeri ini telah menyebabkan hampir 15,000 penduduk terjejas selain terdapat pelbagai kerosakan kecil akibat daripada bencana berkenaan.

“Kita berharap kerosakkan ini dapat diperbaiki selepas peruntukkan diluluskan,” katanya. – 14 Januari 2017.