UMNO Kelantan Sedia Hadapi PRU-14

UMNO Kelantan telah bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya kini menumpukan gerakan akar umbi terutamanya di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya, pimpinan UMNO negeri itu kini turun padang ke PDM bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ke 30 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai persiapan ke arah itu (pilihan raya).

“Ada kemungkinan PRU-14 dibuat tahun ini. Justeru, di peringkat perhubungan kita sudah buat banyak persiapan termasuk mengarah dan melantik jentera.

“Saya melihat setakat ini, mereka bersemangat dan berpuas hati, mana kerusi yang kita menang kita akan pertahankan selain menyasarkan menang di beberapa DUN yang mempunyai peluang termasuk di Bachok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan gerak kerja di Bilik Gerakan UMNO PDM Perupok, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha UMNO negeri, Datuk Hanafi Mamat dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman.

Mustapa mengadakan lawatan di dua PDM di Bachok iaitu di PDM Pauh Lima jam 7 pagi dan PDM Perupok jam 11 pagi hari ini. – 14 Januari 2017.