Dadah: Lima Mahasiswa Ditahan

Lima mahasiswa dari salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kepantan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kampung Banggol Judah, Machang awal pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, kelima-lima pelajar lelaki yang berusia 19 tahun itu ditahan oleh sepasukan narkotik dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 dan 1.45 pagi di sebuah rumah sewa.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya telah menemukan lima paket plastik yang disyaki dadah jenis ganja yang disimpan di dalam botol.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pihak narkotik telah menyerbu sebuah rumah sewa di Kampung Banggol Judah, Machang kira-kira pukul 1.30 pagi dan menahan tiga mahasiswa yang berasal dari Kuala Lumpur, Selangor dan Kuala Terengganu.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah bilik di rumah berkenaan telah menemukan satu botol ubi kentang yang mengandungi 23 gram dadah yang disyaki ganja,” katanya.

Ab. Rahman berkata, dalam serbuan kedua kira-kira pukul 1.45 pagi di sebuah rumah berhampiran pihaknya berjaya menahan dua lagi mahasiswa yang berasal dari Kelantan.

“Dalam serbuan kedua ini, kita tidak menemukan apa-apa namun hasil ujian air kencing yang dilakukan terhadap mereka mendapati kelima-lima pelajar terbabit positif dadah jenis ganja.

“Kita percaya dadah yang dirampas ini adalah untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Tambah beliau, kelima-lima suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – 15 Januari 2017.