Dr. Mahathir Ubah Kenyataan, BR1M Boleh Jika Pembangkang Ambil Alih Kerajaan

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mendakwa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah dan menyalahi undang-undang tiba-tiba mengubah kenyataannya.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) malam tadi, beliau membayangkan BR1M boleh diteruskan jika pembangkang mengambil alih kerajaan.

Jelasnya, bantuan berkenaan akan diagihkan pegawai kerajaan jika ia didapati penting.

“Jika dipersetujui oleh rakyat, BR1M akan dijadikan bantuan statutori yang ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa.

“Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya atau cara penyampaiannya,” katanya.

Kenyataan tersebut jelas bertentangan dengan apa yang didakwa sebelum ini bahawa pemberian bantuan berkenaan adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Malah, dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 31 Disember lalu, Dr. Mahathir tegas mempertahankan kenyataannya itu. – 15 Januari 2017.