KSU Bebas Dengan Jaminan SPRM

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membebaskan Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian dan seorang anak lelakinya selepas 11 hari direman.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membebaskan KSU itu dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM200,000 manakala anak lelakinya berusia 34 tahun sebanyak RM25,000.

Tahanan reman terhadap KSU bergelar Datuk yang berusia 59 tahun dan anaknya 34 tahun itu bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Terdahulu, KSU terbabit dan anaknya dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret pada jam 11 pagi.

Suspek ditahan di kediamannya di USJ, Subang Jaya, Selangor pada 4 Januari lalu manakala dua anaknya masing-masing ditahan ketika diambil keterangan di ibu pejabat SPRM.

Hasil pemeriksaan selama 12 jam di rumahnya, SPRM merampas wang tunai lebih RM3 juta, pelbagai mata wang asing serta jongkong emas.

Turut dirampas ialah 150 barangan merangkumi tas tangan pelbagai jenama seperti Prada, Louis Vuitton dan Chanel selain jam tangan berjenama. – 15 Januari 2017.