Maut Dalam Perjalananan Hantar Anak Ke Sekolah

Seorang lelaki berusia 47 tahun maut ketika dalam perjalanan menghantar tiga anaknya ke sekolah awal pagi tadi akibat serangan asma.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Baharom Abu berkata, mangsa Nik Fa Nik Din dalam perjalanan menghantar anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Chat dengan memandu kereta Perodua Kancil.

“Ketika memandu pada jam 7.15 pagi tadi, mangsa secara tiba-tiba tidak sedarkan diri akibat penyakit asma.

“Akibatnya, mangsa yang datang dari arah Bulatan Tengku Anis menghala ke Taman Uda, terbabas ke lorong sebelah kanan arah bertentangan berhampiran tali air.

“Ketiga-tiga anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Baharom berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 15 Januari 2017.