Annuar Buka Laluan TMJ Isi Kerusi No – 1 FAM

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyatakan pendirian supaya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim diberi peluang memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun Annuar berkata, sekirannya TMJ menolak tawaran tersebut, beliau sekali lagi menegaskan keinginannya bersedia untuk mengisi kerusi panas No-1 FAM itu.

Dalam masa sama katanya, TMJ perlu berani mengambil tanggungjawab tersebut kerana berpendapat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mempunyai kemampuan dan idea-idea yang bernas bagi menyelamatkan sukan No-1 negara itu.

“Saya sudah buat pendirian jelas, TMJ harus diberi peluang menjadi presiden. Kalau tak mahu, semua tidak mahu, saya bersedia mengisi jawatan tersebut.

“Kita jangan banyak cakap pasal bola, tetapi tidak mahu ambil tanggungjawab itu. Kalau kita banyak cakap, banyak idea, kita kena berani ambil tanggungjawab sebagai Presiden FAM.

“Sebab bola ini adalah sukan rakyat dan ia memerlukan pengurusan yang baik. Saya cuma berpendapat, saya fikir, TMJ patut diberikan peluang,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mahu perang mulut antara Annuar dengan Tunku Ismail diakhiri secara baik demi kemajuan bola sepak negara.

Biar pun tidak mengaitkan secara langsung pertikaman lidah antara dua pemimpin itu dengan kehangatan pemilihan Presiden FAM Mac ini, namun Khairy berharap isu tersebut diselesaikan di meja rundingan ‘sebab pencalonan jawatan tertinggi badan induk bola sepak itu akan ditutup tidak lama lagi’.

Pencalonan untuk pemilihan jawatan tertinggi FAM perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 23 Januari ini dengan Kongres FAM akan diadakan 25 Mac ini yang bakal menyaksikan berlangsungnya pemilihan jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

Setakat ini, Annuar telah menawarkan diri bertanding jawatan Presiden FAM manakala Tunku Ismail yang mendapat sokongan terbuka daripada beberapa persatuan bola sepak negeri telah menolaknya.

Bagaimanapun, terdapat spekulasi mengatakan Annuar tidak akan diberi laluan percuma dalam percubaannya kerana terdapat calon lain yang mendapat sokongan Tunku Ismail.

Berikutan itu, perang mulut antara Annuar dan Tunku Ismail termasuk yang terbaru kelmarin berhubung penajaan pasukan Kelantan dilihat didorong akibat kehangatan perebutan jawatan Presiden FAM. – 16 Januari 2017.