BR1M Dikisar Dengan Pelbagai Fatwa

Orang-orang besar banyak bercakap mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ada yang kata rasuah, ada yang kata itu sogokan, ada yang kata itu bagus dan macam-macam lagi.

Yang di bawah pula, pening, tidak tahu mana satu fatwa untuk diikut. Fatwa Mahathir Mohamad, Hadi Awang, Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali atau Lim Kit Siang.

Dalam pembangkang fatwa yang dikeluarkan berkecamuk. Mahathir dan Azmin senada kata itu rasuah. Wan Azizah, Hadi dan Kit Siang kata itu bantuan, tidak ada masalah kerana membantu meringankan rakyat. Jadi yang mana satu betul?

Dan rakyat di bawah ini juga sama-sama sambut. Didebatkan cerita BR1M ini berhari-hari dari yang berkolar putih sehingga ke kolar biru. Sampai ada yang was-was.

Namun dalam pemerhatian dan tinjauan yang dibuat, was-was dan ideologi politik di tolak ke tepi. Kerana yang penting ialah wang.

Setakat ini belum dengar lagi yang tolak BR1M walaupun ada yang terima itu penyokong tegar cap bunga raya atau parti cap mata.

Jadi diikut fatwa Mahathir dan Azmin maka rakyat yang menerima BR1M adalah penerima rasuah. Begitu hina mereka meletakkan taraf rakyat kita.

Apakah mereka fikir, penerima-penerima BR1M suka dia mengutuk mereka makan ‘dedak’? Apa mereka fikir, penerima-penerima bantuan itu suka dihina makan ‘gula-gula’? Apa mereka fikir penerima BR1M itu semua ‘bodoh’ untuk dia perbodohkan?

Apakah dia fikir BR1M hanya diberikan kepada penyokong BN dan golongan pengundi yang menyokong kerajaan sahaja? Apakah dia tidak tahu bahawa BR1M diberikan kepada semua rakyat yang layak tanpa mengira fahaman politik atau parti?

Bantuan ini untuk rakyat. Malah kajian yang dilakukan oleh ahli akademik di England mendapati bahawa pemberian secara terus kepada golongan sasar dapat menggalakkan pasaran dengan meningkatkan kuasa beli.

Perlu diingat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat berbeza. Ketika dilantik ke jawatan tersebut, beliau telah melakukan kajian yang mendalam mengenai kehendak dan kebimbangan rakyat berdasarkan semua aspek. Keselamatan, kos sara hidup, perumahan, pengangkutan awam dan banyak lagi.

Maka disebabkan itu, BR1M dilancarkan. Itu bukan cadangan dan idea Najib seorang tetapi dari kajian dan penelitian semua agensi.

Jika pemberian BR1M dikira rasuah bagaimana pula dengan subsidi lain. Subsidi ubat, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan awal persekolahan, bantuan buku teks, bantuan pelajar miskin, rumah PPRT dan banyak lagi. Adakah ini juga dikira rasuah?

Politik hari ini sudah melalut dan sudah ke laut. Apa yang dibuat kerajaan dilihat buruk, semua serba tidak betul.

Lihat dengan mata hati, siapa yang membela rakyat.