Disyaki Buat Bom, Enam Lelaki Ditahan

Enam lelaki disyaki terbabit dalam aktiviti membuat bom ditahan dalam beberapa serbuan di Pasir Mas, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 30 dan 40-an itu ditahan di rumah masing-masing dalam serbuan bermula pukul 4 pagi.

“Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan siasatan awal polis menemui beberapa peralatan termasuk wayar dan bateri dipercayai untuk membuat bom,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK).

Ab. Rahman berkata, polis akan melakukan siasatan lebih mendalam ke atas suspek terbabit kerana dipercayai kes itu ada kaitan dengan ancaman keselamatan negara.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek ada kaitan dengan kegiatan militan Daesh.

“Pada tahun lalu, seramai lapan suspek dipercayai ada kaitan dengan kegiatan Daesh ditahan oleh polis Kelantan. Semua yang ditahan adalah hasil serbuan di Kuala Krai, Tanah Merah serta Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu polis sedang memburu seorang suspek berusia 30-an yang disyaki terbabit dalam kes tetak pemandu peribadi kepada Anggota Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dalam kejadian 13 Januari lalu.

Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, mangsa dikatakan pergi berseorangan ke rumah suspek yang terletak di Cabang Tiga Haji Musa, Bukit Marak, bagi mendapatkan suatu bayaran.

Bagaimanapun katanya, berlaku pertengkaran di situ sehingga suspek yang tidak berpuas hati terus mengeluarkan sebilah parang dan menetak mangsa di bahagian lengan dan paha kanan.

Katanya, suspek yang panik kemudiannya terus melarikan diri manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini, untuk rawatan. – 16 Januari 2017.