Dr. Mahathir Lagi Usang

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak mampu untuk menggantikan UMNO, kata Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Beliau berkata, PPBM hanya boleh menjadi rakan kongsi baharu kepada pakatan rakyat yang didominasi oleh DAP.

“Kita boleh terima kalau Tun M kata UMNO adalah parti lama, tetapi bila bercakap soal usang, yang usang adalah dia. UMNO baru berusia 71 tahun dan yang lebih usang dari UMNO adalah Tun M.

“Boleh ke orang yang sudah usang (Tun M) buat benda baharu dan macam mana yang usang boleh menggantikannya. Pada saya, tidak nampak PPBM boleh menggantikan UMNO,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PPBM yang mendakwa kewujudan parti itu bertujuan untuk menggantikan sebuah parti politik usang (UMNO).

Md. Alwi berkata, mana-mana parti baharu belum pasti dapat menggantikan yang lama kerana semakin lama sesebuah parti menjadikan ia semakin baik.

“UMNO sudah banyak kali melalui proses presiden keluar dari parti dan ia sudah berlaku sejak awal penubuhan lagi.

“Tun M keluar dari UMNO kerana tidak bersetuju dengan presiden parti. Jika tidak bersetuju, sepatutnya dia calonkan diri untuk menjadi presiden sekali lagi. Berlawan secara terbuka dalam UMNO,” katanya. – 16 Januari 2017.