Harga Getah Terus Meningkat

Pasaran harga getah diramal terus meningkat pada suku pertama tahun ini susulan permintaan tinggi dari China.

Ia sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, bermula Januari hingga Mac ini, purata Standard Getah Malaysia (SMR) 20 dijangka kekal kukuh pada paras RM8 sekilogram berbanding RM5.64 sekilogram tahun lalu.

“Harga getah menjunam awal tahun lalu iaitu hanya RM4 sekilogram sebelum meningkat mencecah RM8.36 sekilogram sejak Disember lalu dan kita jangkakan ia kekal pada purata RM8 sekilogram sehingga Mac ini.

“Kita hanya dapat membuat jangkaan sehingga suku pertama tahun ini memandangkan banyak perkara yang perlu diambil kira termasuk dasar dan kesan kepemimpinan Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya, hari ini.

Siew Keong berkata, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan pemimpin dari China sebelum ini turut mengukuhkan pasaran eksport getah dan kelapa sawit dari Malaysia ke negara terbabit.

“Selain itu, banjir luar musim yang melanda selatan Thailand ketika ini juga antara faktor harga getah negara meningkat pada awal tahun,” katanya. – 16 Januari 2017.