Jambatan Kesban Atasi Masalah Banjir ‘Termenung’

Usaha Kerajaan Pusat untuk membina sebuah jambatan di Jalan Kesban berhampiran Kampung Nibong di Tumpat bagi mengatasi masalah banjir ‘termenung’ memberi kelegaan kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Ab. Aziz berkata, dengan pembinaan jambatan berkenaan, ia akan membantu mengalirkan air banjir di kawasan penduduk ke Sungai Golok.

“Pembinaan jambatan ini telah dinantikan hampir 20 tahun oleh penduduk di sini dan bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan mengenai projek ini, ia amat menggembirakan rakyat.

“Selama ini, mereka terpaksa menempuh masa yang sukar disebabkan tiada laluan air keluar tetapi bila projek ini dilaksanakan, ia akan membantu menyelesaikan masalah berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Rosdi berkata, pembinaan jambatan ini juga bakal menjimatkan kos kerajaan dari segi operasi serta bantuan untuk mangsa banjir.

“Bila berlaku banjir, kerajaan perlu membelanjakan beratus-ratus juta untuk bantuan serta membaikpulih kerosakan banjir yang dialami oleh penduduk di sini.

“Jadi, pembinaan jambatan ini bukan sahaja dapat membantu mengelakkan banjir malah menjimatkan kos perbelanjaan yang perlu ditanggung oleh kerajaan setiap kali berlaku banjir,” katanya.

Dalam pada itu, Rosdi berkata, pihaknya juga berharap bantuan tidak hanya tertumpu semasa banjir sahaja malah perlu diteruskan kepada mangsa selepas banjir.

“Ketika banjir baru-baru ini, kita banyak menerima bantuan dari pelbagai pihak, namun selepas banjir ini bantuan agak berkurangan.

“Bantuan selepas banjir juga amat penting kerana kebanyakkan mangsa masih tidak mampu memulakan kerja mereka. Jadi, bantuan dalam bentuk yang dirasakan sesuai amat dialu-alukan,” katanya. – 16 Januari 2017.