PPM Rampas Beras, Petrol Dalam Tiga Serbuan

Pasukan Polis Marin (PPM) wilayah Tiga berjaya mematahkan cubaan menyeludupan beras dan petrol dalam tiga serbuan berasingan semalam.

Dalam serbuan berkenaan, anggota PPM telah merampas 750 kilogram beras serta sembilan tong jerikin yang mengandungi 270 liter minyak petrol.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 22 tahun yang sedang membawa 500 kilogram beras dipercayai diseludup dari Thailand di dalam sebuah kenderaan di Jalan Bendang Pak Yong kira-kira pukul 7.45 malam tadi.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, hasil maklumat orang awam, anggota PPM telah menjalankan rondaan dan risikan di kawasan Jalan Bendang Pak Yong ke Jubakar sebelum terlihat sebuah kereta Proton Saga yang disasarkan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut menemukan 20 kampit beras seberat 25 kilogram di bahagian tempat duduk belakang serta bonet kenderaan tersebut.

“Semalam, anggota kita turut melakukan rondaan di Pengkalan Haram Tanjung kira-kira pukul 6.45 pagi sebelum ternampak kelibat seorang lelaki sedang memunggah beras dari tebing ke kenderaan.

“Menyedari kehadiran anggota PPM lelaki berkenaan terus bertindak melarikan diri dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 250 kilogram beras yang telah ditinggalkan di kawasan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, serbuan kedua telah dilakukan di Pengkalan Haram Tualang kira-kira pukul 9 pagi dan membawa kepada penemuan 270 liter petrol yang bernilai RM567.

“Bagaimanapun, individu terlibat berjaya melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota PPM,” katanya.

Tambah beliau, kesemua rampasan tersebut membabitkan nilai berjumlah RM2,817. – 16 Januari 2017.