ADUN Sungai Tawar Meninggal Dunia, Polis Siasat Punca Kematian

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik, 58, meninggal dunia di kediamannya di Jalan Haji Jabar, Sungai Air Tawar, pagi tadi.

Kematian Kamarol Zaki disedari dua pembantu khasnya, Saufaat Salimin dan Mohamad Fariq Roslan, kira-kira jam 8.30 pagi apabila wakil rakyat itu tidak muncul dalam satu program di Kampung Pulai dan Kampung Sekendi.

ADUN berkenaan sepatutnya hadir pada Program Sedetik Bersamamu di kampung berkenaan jam 8 pagi tadi.

Pegawai berkenaan terpaksa mengumpil pintu belakang rumah sebelum menemui Kamarol Zaki dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di ruang rehat di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Norazmi Isa, mengesahkan kematian wakil rakyat berkenaan.

Norazmi berkata, punca kematian ADUN berkenaan masih dalam siasatan.

Katanya, jenazah Kamarol Zaki dibawa ke Hospital Tunku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam, untuk tindakan lanjut.

Allahyarham juga adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam.

Pada Pilihan Raya Umum 2013, Kamarol Zaki menewaskan calon PAS, Wahid Rais, dengan majoriti undi sebanyak 1,416. – 17 Januari 2017.