Jari Hampir Putus Ditetak Penyamun

Seorang lelaki hampir putus jari kelingking kanan akibat ditetak dengan kapak dan parang ketika bergelut dengan tiga lelaki yang menyamun kedai runcit 24 jam miliknya di Pasir Tumboh pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa, Arshad Ali, 34, turut mengalami kecederaan di bahagian belakang.

Seorang pekerja, Isniaida Abdul Wahab, 39, berkata, ketika kejadian dia sedang menjaga kedai itu bersama majikannya sebelum didatangi tiga lelaki bertopeng.

“Masa itu, saya dan majikan berada di bahagian kaunter sebelum didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan parang dan kapak.

“Waktu itu, mereka meminta kami menyerahkan wang sambil mengacukan parang dan kapak.

“Walau bagaimanapun, majikan saya sempat memukul salah seorang daripadanya tetapi mereka membalas dengan menetaknya kembali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bachok hari ini.

Isniaida berkata, akibat pergelutan itu, majikannya mengalami kecederaan di jari kelingkiing kanan serta di bahagian belakang sebelah kiri.

Katanya, mangsa (majikannya) dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan. – 17 Januari 2017.