Pasir Naik 100 Peratus, Harga Rumah Bakal Naik 30 Peratus?

Harga rumah dijangka meningkat mendadak sehingga 30 peratus di Kelantan jika isu kenaikan harga pasir yang didakwa sedang berlaku di negeri itu tidak ditangani segera.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) negeri, Mohd. Shukri Omar berkata, setakat ini kerajaan PAS Kelantan dilaporkan telah memberi jaminan bahawa harga pasir kekal.

Bagaimanapun tegas beliau, realiti di luar adalah sebaliknya apabila pihak Rehda Kelantan menerima aduan daripada pemaju bahawa harga bahan binaan tersebut didapati meningkat sehingga 100 peratus.

“Kalau sebelum ini pemaju membeli pasir pada harga RM130 bagi setiap 10 tan, sekarang mereka mengadu dikenakan bayaran oleh pembekal sehingga RM260 bagi setiap 10 tan.

“Jika dibiarkan berleluasa, kita khuatir perkara ini menyebabkan harga rumah di kelantan melambung naik, sekali gus menjejaskan kuasa beli rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Rehda Kelantan.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya tidak pernah mengisytiharkan pengusaha pasir boleh menaikkan harga bahan binaan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri telah membuka tender bagi menguruskan pasir di negeri tersebut, namun setakat ini, harga doket (royalti) RM1.80 untuk satu meter padu atau satu tan pasir masih dikekalkan.

Kenaikan harga pasir itu dikatakan berlaku selepas Kerajaan PAS Kelantan dipercayai tidak menyambung kontrak 77 pengusaha pasir di negeri itu dengan menggantikannya dengan sistem baharu.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yakob digesa menyiasat tindakan segelintir pembekal yang menaikkan harga pasir sesuka hati memandangkan perbuatan itu memberi impak negatif kepada industri perumahan negeri.

“Dalam situasi ekonomi semasa tidak menentu dan pasaran hartanah yang lembab, kesan kenaikan harga pasir perlu ditanggung pemaju yang telah menandatangani Perjanjian Jual Beli mengikut harga yang ditetapkan.

“Kita bimbang keadaan ini menyebabkan muncul projek-projek terbengkalai di Kelantan sebagaimana pernah berlaku pada 2008 akibat kenaikan mendadak harga minyak,” katanya.

Menurut beliau, Rehda Kelantan kini dianggotai sebanyak 46 pemaju dan sepanjang tahun ini, mereka mengendalikan projek pembinaan lebih 5,000 unit rumah di seluruh negeri. – 17 Januari 2017.