Pintu Kaca Rumah Pengurus Kedai Serbaneka Ditembak

Pintu kaca kediaman seorang pengurus kedai serbaneka di Kubang Kerian, Kelantan berlubang dipercayai akibat terkena satu das tembakan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, wanita yang berusia 24 tahun terbabit sedang tidur di dalam biliknya sebelum terjaga sebaik sahaja terdengar bunyi letupan di ruang tamu.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail, sebaik sahaja terdengar bunyi letupan, mangsa segera keluar dari bilik dan selepas membuat pemeriksaan, dia terkejut apabila mendapati pintu cermin rumahnya berlubang ditembusi sesuatu.

“Wanita yang menyewa rumah teres dua tingkat terbabit sejak sembilan bulan lalu terus membuat laporan di balai polis berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di sekeliling rumahnya masih tidak menjumpai apa-apa kelongsong peluru dan polis masih menyiasat motif kejadian ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Ab. Rahman, ketika kejadian, mangsa ketika itu tinggal seorang diri tidak menjenguk ke luar rumah kerana takut namun terdengar bunyi deruan enjin motosikal beredar meninggalkan perkarangan rumahnya.

“Setakat ini, pihak polis masih meneruskan siasatan bagaimana letupan berlaku namun objek yang digunakan suspek masih lagi tidak ditemukan.

“Rakaman kamera litar tertutup (cctv) juga tiada di sekitar perumahan tersebut,” katanya.

Difahamkan, mangsa mendiami rumah tersebut bersama kakaknya yang kebetulan tiada di rumah ketika kejadian. – 16 Januari 2017.