Polis Buru Tiga Suspek Samun Bersenjata

Polis Kelantan memburu tiga suspek berhubung kes samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Pasir Tumboh, awal pagi tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, kejadian jam 4.30 pagi tadi, pekerja premis berkenaan berada di kaunter sebelum didatangi tiga suspek.

“Suspek bersenjatakan dua parang dan kapak masuk ke dalam kedai berkenaan untuk menyamun. Ketika itu, suasana agak sunyi serta tiada orang yang lalu lalang.

“Berlaku sedikit pergelutan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahu sebelah kiri dan jari kanan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ab. Rahman berkata, ketiga-tiga suspek memakai penutup muka serta sarung tangan semasa menyerbu masuk premis tersebut.

Ketiga-tiga suspek katanya, melarikan diri selepas pekerja terbabit menggunakan kayu untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata, siasatan kejadian akan dilakukan berdasarkan tiga kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan.

Menurutnya, kerugian dianggarkan lebih RM3,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Kes samun bersenjata pagi tadi adalah kejadian kedua berlaku di premis terbabit.

Kali pertama adalah pada Jun tahun lalu. – 17 Januari 2017.