Rangka Manusia Ditemui Milik Penjual Ikan

Rangka manusia yang ditemui di Kampung Lepan Rambai, Pasir Puteh kelmarin disahkan milik seorang penjual ikan yang hilang sejak empat bulan lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail berkata, mangsa, Adam Saudi, 21, tinggal di Kampung Gong Kenuk, Pasir Puteh dikatakan kali terakhir dilihat ahli keluarganya pada 4 September lalu.

Katanya, ketika pengecaman, ayah mangsa, Saudi Hussin, 50-an mengaku rangka itu milik anaknya berdasarkan tali kasut, baju berbelang yang dipakai dan sebentuk cincin.rangka2

“Bapa mangsa mendakwa kali terakhir berjumpa anaknya pada 4 September tahun lalu sebelum mangsa keluar rumah dengan sebuah motosikal jenis Suzuki Smash.

“Polis kini sedang mengesan motosikal mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati rangka berkenaan ditanam di kawasan kebun getah lebih sebulan lalu dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Semalam, akhbar melaporkan penemuan gigi dan rangka manusia di sebuah kebun getah di Kampung Lepan Rambai, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Rangka itu ditemukan seorang ibu tunggal semasa memungut getah yang ditorehnya di kampung berkenaan. – 16 Januari 2017.