UMK, Celcom Axiata Bantu 500 Mangsa Banjir

Universiti Malaysia Kelantan dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad membantu kira-kira 500 keluarga terjejas akibat bencana banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini.

Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed berkata, sumbangan berupa barangan makanan serta keperluan asas itu diberikan kepada mangsa banjir di Tumpat, Pasir Mas serta Rantau Panjang.

“UMK sentiasa menjalinkan kerjasama dengan syarikat milik kerajaan (GLC), swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk pelbagai program bantuan.

“Kali ini, UMK bersama Celcom Axiata Berhad turun ke kawasan yang terjejas banjir. Bagi Celcom Axiata Berhad, ini adalah salah satu program yang dilaksanakan dibawah tanggungjawab korporat mereka bagi meringankan beban mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Misi Bantuan Banjir UMK dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat dan Pasir Mas di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan semalam.

Hadir sama, Pengarah Perhubungan Kerajaan, USP & Pembangunan Vendor Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abd. Ghaffar.

Dalam pada itu, Mortaza berkata, UMK juga sentiasa bersiap sedia dalam membantu mangsa-mangsa banjir dengan menggerakkan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar.

“Kita sentiasa bersedia untuk turun membantu mangsa banjir dari pelbagai sudut sama ada semasa mahupun selepas banjir.

“Setakat ini, kita mempunyai kekuatan kira-kira 1,000 sukarelawan yang terdiri daripada Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) , Pasukan Askar Wataniah dan Pasukan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KORSISPA),” katanya. – 17 Januari 2017.