Amaran Angin Kencang Timur Laut Sehingga Isnin Depan

Angin kencang Timur Laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) diramal di kawasan perairan Samui, Condore, Layang-Layang, Reef North, Labuan, Palawan dan Sulu sehingga Isnin depan.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi perairan Malaysia membabitkan kawasan perairan Kelantan; Terengganu; Pedalaman, Kudat, Pantai Barat dan Sandakan di Sabah serta Wilayah Persekutan Labuan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan yang dikemaskini pada jam 5.30 pagi tadi memaklumkan, keadaan itu menyebabkan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

“Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Selain itu, ribut petir juga diramalkan berterusan sehingga pagi ini di perairan Phuket, Tioman, Sulu, Labuan dan Reef North, menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

MetMalaysia turu mengeluarkan amaran ribut petir di perairan Pahang; Johor timur; Miri di Sarawak serta Pantai Barat Sabah dan dijangka berterusan sehingga pagi ini.

“Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 km/j dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil,” katanya. – 18 Januari 2017.