Dakwaan Dr. Mahathir Tidak Berasas

Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan isu perkauman semata-mata untuk meraih sokongan pengundi dalam merealisasikan percaturan politiknya, kata bekas Naib Presiden UMNO, Senator Tan Sri Mohd. Ali Rustam.

Beliau berkata, pandangan Dr. Mahathir yang mendakwa pelaburan dari negara China boleh melemahkan penguasaan politik tanahair adalah tidak berasas kerana kemasukan pelaburan asing berlaku sejak dahulu.

Katanya, bekas perdana menteri itu hanya mahu mencari pengaruh untuk meraih undi pilihan raya sebagaimana taktik DAP yang sering menggunakan isu perkauman.

“Saya lihat masa zaman Tun Mahathir dahulu pun banyak juga pelabur dari Singapura dan China datang ke Malaysia.

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, China menjadi semakin terbuka, mereka bukan sahaja melabur di negara kita bahkan di negara-negara Arab.

“Saya pergi negara Arab saya lihat banyak syarikat-syarikat China melabur di sana bahkan syarikat mereka membina bangunan-bangunan agensi kerajaan,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Dr. Mahathir sebelum ini mengkritik pelaburan China khususnya di negeri Johor sehingga menyebabkan Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tersinggung. – 18 Januari 2017.